''Berpalinglah dari Allah s.w.t ketika turunnya takdir adalah kematian agama, kematian tauhid, kematian tawakkal dan kematian keikhlasan. Hati orang mu'min itu tidak mengetahui, mengapa dan bagaimana tidak mengetahui, bahkan seharusnya ia mengatakan ''Seluruh nafsu itu diselisihi dan dilawan, '' maka barangsiapa yang mahu memperbaiki hendaklah ia memeranginya sehingga ia aman dari keburukan nafsu kerana seluruh nafsu itu buruk. Namun apabila nafsu itu diperangi dan tenang maka seluruh nafsu menjadi baik, menjadi elok dalam seluruh ketaatan dan dalam meninggalkan seluruh kemaksiatan. Ketika itu maka diucapkan baginya: Ertinya: ''Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya.'' (Al-Fajr: 28-29)
Nafsu itu dapat meningkat, hilang keburukannya dan tidak berhubungan dengan makhluq. Sah untuk dinisbatkan kepada ayahnya Ibrahim a.s dimana beliau telah keluar dari hawa nafsunya dan hidup tanpa ada hawa nafsu yang mengalir, sedang hatinya tenang, telah datang kepadanya bermacam-macam makhluk dan menawarkan pertolongan kepadanya. Beliau menjawab: ''Saya tidak inggin pertolonganmu sekalian, Dia (Allah) mengetahui keadaanku, dimana Dia tidak perlu untuk bertanya kepadaku'' kerana benar penyerahan dan tawakkalnya, maka dikatakan kepada api: Ertinya: ''Hai api menjadi dinginlah, dan menjadi keselamatanlah bagi Ibrahim.'' (A-Anbiya': 69)
Allah s.w.t memberi pertolongan bagi orang yang sabar di dunia tanpa batas dan Dia memberi kenikmatan kepadanya di akhirat tanpa batas. Allah Ta'ala berfirman: Ertinya: ''Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.'' (Az-Zumar: 10)
Tidak samar atas Allah, sesuatu yang ditanggung oleh orang-orang yang menanggung kerana-Nya, bersabarlah sesaat bersama-Nya, dan anda sekalian akan melihat kelemah-lembutan-Nya dan Dia pasti memberikan kenikmatan bertahun-tahun. Keberanian adalah sabar sesaat. Ertinya: ''Sesungguhnya Allah bersama mereka yang sabar.'' (Al-Baqarah: 152)
Bersabarlah bersama-Nya, jagalah untukNya dan jangan lalai kepada-Nya. Janganlah kamu jaga setelah mati, kerana jaga pada waktu itu tidak bermanfaat lagi bagimu. Jagalah untuk-Nya sebelum bertemu dengannya dengan-Nya, dan perbaikilah hatimu kerana apabila hati itu baik maka baiklah seluruh keadaanmu. Oleh kerana itu Nabi s.a.w. bersabda: Ertinya: ''Di dalam diri anak Adam (manusia) terdapat segumpal daging. Apabila segumpal daging itu baik maka baiklah seluruh tubuhnya dan apabila segumpal darah itu rosak maka rosaklah seluruh tubuhnya, ketahuilah itulah hati.'' Baiknya hati itu dengan taqwa dan tawakkal kepada Allah s.w.t., mengesakan-Nya dan ikhlas dalam beramal, sedangkan rosaknya hati adalah dengan tidak adanya hal-hal yang tersebut. Hati adalah seperti burung di dalam sangkar. Yang diperhitungkan burungnya bukan sangkarnya.
Ya Allah, sibukkanlah anggota-anggota badan kami dengan taat kepada-Mu dan hati kami dengan makrifat kepada-Mu. Dan sibukkanlah kami sepanjang hidup kami, siang dan malam dan susulkanlah kami kepada orang-orang yang soleh yang terdahulu, Berikanlah kami rezeki seperti apa yang Engkau rezekikan kepada mereka dan jadilah Engkau bagi kami sebagaimana Engkau berbuat kepada mereka, amin.
Wahai kaumku, jadilah kamu bagi Allah s.w.t. sebagaimana orang-orang soleh berbuat kepada-Nya sehingga Allah akan berbuat kepada-Mu sebagaimana Dia berbuat kepada mereka. Jika kamu menginginkan Allah s.w.t. bagimu maka sibuklah dengan mentaati-Nya dan sabar bersama-Nya serta redha kepada perbuatan-perbuatan-Nya terhadap dirimu dan selain kamu. Kaum ( yang Saleh itu ) zuhud terhadap dunia dan mengambil bahagian keduniaan mereka dengan tangan taqwa dan warak. Kemudian mereka menuntut akhirat dan beramal dengan amalan akhirat, mereka durhakai hawa nafsu mereka, dan mentaati Tuhan mereka 'Allah s.w.t. serta mereka nasihat diri mereka sendiri kemudian diri orang lain.
Wahai anak, nasihatilah dirimu sendiri kemudian nasihatilah orang lain. Atas tanggunganmulah kekhususan dirimu, janganlah kamu melampaui orang lain sedangkan di dalam dirimu masih ada sisa yang perlu untuk deperbaiki. Celaka kami di mana kamu mengetahui bagaimana untuk menyelamatkan orang lain sedangkan kamu itu buta, bagaimanakah kamu menyelamatkan orang lain? Yang menyelamatkan manusia adalah orang yang melihat. Yang dapat menyelamatkan mereka dari lautan adalah perenang yang terpuji. Yang dapat membawa kepada Allah s.w.t. hanyalah orang yang ma'rifat kepada-Nya. Adapun orang yang bodoh mengenai Dia maka bagaimanakah ia dapat menunjukkan atas-Nya? Kamu tidak mempunyai perkataan mengenai tindakan Allah s.w.t., kecintaan dan amal serta takut kepada-Nya bukan selain-Nya. Ini adalah dengan hati, bukan dengan gerakan lidah. Ini ada di dalam kesunyian dan tidak di dalam keramaian. Apabila tauhid ada di pintu rumah dan syirik ada di dalam rumah maka itu adalah nifaq. Celakalah kamu di mana lidahmu bertaqwa sedang hatimu berbuat kejahatan, lidahmu bersyukur sedangkan hatimu berpaling. Allah s.w.t. berfirman: Ertinya: "Wahai anak adam (manusia), kebaikan-Ku itu turun kepadamu sedangkan keburukanmu itu naik kepadaKu.''
Celakalah kamu di mana kamu mengaku bahawa kamu menyembah-Nya padahal kamu mentaat lain-Nya. Seandainya kamu benar-benar hamba-Nya nescaya kamu bermusuhan untuk-Nya dan berkasih kerana-Nya. Orang mukmin yang yakin adalah tidak mentaati dirinya, syaitannya dan hawa nafsunya. Apabila ia dapat menghasilkan akhirat maka ia meninggalkannya dan ia meyambung tuanya Allah s.w.t. Ia ikhlas dalam ibadah kepada-Nya pada seluruh waktunya. Ia mendengar firman Allah s.w.t. : Ertinya: ''Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dengan lurus.'' (Al-Bayyinah: 5)
Tinggalkanlah syirik kamu dan Esakanlah Allah s.w.t., Dialah yang menciptakan segala sesuatu, dan segala sesuatu di tangan-Nya (kekuasaan-Nya). Wahai orang yang menuntut segala sesuatu dari selain-Nya, kamu adalah orang yang tidak berakal. Apakah ada sesuatu yang tidak terdapat di dalam perbendaharaan Allah s.w.t.. Allah berfirman: Ertinya: ''Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kamilah khazanahnya.'' (Al-Hijr: 21)
Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan. Apabila kamu demikian maka akan berlimpah apa yang ditakdirkan dari kurnia dan anugerah-Nya sesuatu yang tidak baik kamu meminta dan mencita-citakannya.
Wahai kaumku, setujuilah takdir dan terimalah dari Abdul Qadir yang bersungguh-sungguh dalam menyetujui takdir. Kesetujuan saya kepada takdir itu menghantarkan saya kepada Dzat Yang Maha Kuasa.
Wahai kaumku, marilah kita merendahkan diri kepada Allah s.w.t., kepada takdir dan perbuatan-Nya. Dan kita tundukkan zahir dan batin kita, kita setujui takdirr dan kita jalaninya kerana takdir adalah utusan Maha Raja maka kita muliakan kerana Dzat yang mengutusnya. Apabila kita lakukan hal itu bersama-Nya maka kita dibawanya kepada Yang Maha Kuasa: Ertinya: ''Di sana pertolongan itu hanya dari Allah Yang Hak.'' (Al-Kahfi: 44)
Kamu mendapat minuman dari lautan ilmu-Nya, makanan dari deretan kurnia-Nya, merasa senang dengan kesenangan-Nya dan mendapat liputan rahmat-Nya. Ini adalah untuk seorang dari setiap satu juta orang dari seluruh marga dan suku.
Wahai anak, hendaklah kamu bertakwa, hendaklah kamu memegangi batas-batas Syara', menyelisihi hawa nafsu, syaitan dan teman-teman keburukan. Seorang mukmin dalam memerangi hal itu kepalanya tidak terbuka dari topi baja, pedangnya tidak disarungkan, dan punggung kudanya tidak lepas pelananya. Ia tidur seperti tidurnya kaum, maka seperti umumnya makan mereka, sedikit perkataan dan terpaksa membisu. Yang membuatnya berbicara adalah takdir perbuatan Allah. Dia gerakkan pembicaraan mereka di dunia sebagaimana Allah s.w.t. membuat setiap yang berbicara itu dapat berbicara dan akan membuat anggota-anggota badan itu berbicara esok pada hari Kiamat, sebagaimana Dia akan membuat benda-benda padu itu berbicara. Dia siapkan baginya sebab-sebab berbicara maka seluruhnya itu berbicara. Apabila Dia menghendaki mereka untuk suatu urusan maka Dia siapkan bagi mereka urusan itu. Dia menghendaki untuk meyampaikan peringatan dan khabar gembira dengan mengalahkan hujah mereka maka Dia jadikan para Nabi dan para Rasul itu berbicara. Ketika Allah s.w.t. mewafatkan para Nabi dan Rasul maka Dia tegakkan Ulama untuk menunaikan tugas mereka, lalu Dia jadikan mereka berbicara dengan pembicaraan untuk memperbaiki makhluk, sebagai ganti mereka. Nabi s.a.w bersabda: Ertinya: ''Ulama itu adalah pewaris para Nabi.''
Wahai kaumku, bersyukurlah kepada Allah s.w.t. atas nikmat-nikmat-Nya. Dia berfirman: Ertinya: ''Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allahlah (datangnya).'' (An-Nahl: 53)
Di manakah Syukur itu wahai orang-orang yang menerima nikmat-nikmat-Nya? Wahai orang yang melihat nikmat-Nya itu dari selain-Nya, sesekali kamu melihat nikmat-nikmat-Nya dari selain-Nya, sesekali kamu menganggapnya sedikit dan kamu menunggu kepada apa yang tidak untukmu dan sesekali kamu menggunakannya untuk maksiat kepada Allah s.w.t.
Wahai anak, dalam khalwatmu kamu memerlukan kewarakan yang mengeluarkan kamu dari maksiat-maksiat, ketergelinciran-ketergelinciran dan pengawasan yang mengingatkan kamu akan pandangan Allah s.w.t. kepadamu. Kamu sangat memerlukan hal ini di dalam khalwatmu, kemudian kamu memerlukan kepada pemerangan hawa nafsu dan syaitan. Runtuhnya kebanyakan manusia kerana tergelincir, runtuhnya orang-orang yang zuhud kerana syahwat, runtuhnya badal kerana fikiran dan lintasan hati dalam khalwat, dan runtuhnya orang-orang yang jujur dalam hal-hal yang sekejap. Mereka disibukkan oleh penjagaan hati kerana mereka tidur di pintu Raja, mereka menempati di maqam (tempat) dakwah, Mereka mengajak hati, dengan mengatakan "wahai hati, wahai ruh, wahai manusia, wahai jin dan wahai orang-orang yang menginginkan Maha Raja, marilah ke pintu Maha Raja bersegeralah kepada-Nya dengan telapak kaki hatimu, telapak kaki takwamu, tauhidmu, makfiratmu dan warakmu yang tinggi dan zuhud di dunia, dan akhirat dan apa yang selain Tuhan. Inilah kesibukan kaum itu, cita-cita mereka memperbaiki makhluk, cita-cita mereka mencukup langit dan bumi dari ' Arsy sampai tanah.''
Wahai anak, tinggalkanlah hawa nafsumu, jadilah tanah di bawah telapak kaki kaum itu, debu di muka mereka. Allah s.w.t. mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. Dia mengeluarkan Ibrahim a.s. dari kedua orang tuanya yang mati dengan kafir sedang orang mukmin itu hidup dan orang kafir itu mati. Orang yang mengesakan Allah s.w.t. itu hidup sedang orang yang mensekutukan (musyrik) itu mati. Oleh kerana itu Allah s.w.t. berfirman dalam sebahagian firman-Nya: Ertinya: ''Yang pertama mati dari makhluk-Ku adalah Iblis.'' Yakni Iblis itu durhaka kepada-Ku, maka dia mati dengan kemaksiatan. Zaman ini adalah zaman akhir, telah nyata pasar nifaq dan pasar dusta. Jaganlah kamu duduk bersama orang-orang munafik yang dusta lagi pembohong. Celakalah kamu, hai nafsu yang munafik, dusta, kafir, berbuat jahat, maka bagaimanakah kamu duduk bersamanya? Selisihilah (lawanlah) nafsu itu dan janganlah kamu menyetujuinya namun janganlah kamu mencerainya. Tahanlah nafsu itu dan perlakukan haknya yang mesti untuknya. Paksalah ia dengan perjuangan-perjuangan. Adapun hawa nafsu maka naikilah dan jangan kamu biarkan ia menaiki kamu. Sedangkan naluri maka janganlah kamu temani kerana naluri itu anak kecil yang tidak berakal, bagaimanakah kamu belajar dari si kecil dan kamu menerima daripadanya? Syaitan adalah musuhmu dan musuh ayahmu Adam a.s. maka bagaimanakah kamu tenang kepadanya dan menerima daripadanya sedangkan antara kamu dan dia terdapat darah permusuhan sejak dahulu kala yang mana kamu tidak aman daripadanya kerana ia telah memerangi ayah dan ibumu ( Adam dan Hawa ). Apabila kamu memberi kesempatan kepadanya maka dia akan membunuhmu seperti dia telah membunuh keduanya (Adam dan Hawa), jadikanlah takwa sebagai pedangmu, mentauhidkan Allah, takut kepada-Nya, warak dalam khalwat, jujur dan mohon pertolongan kepada Allah s.w.t. sebagai bala tenteramu. Senjata dan bala tentera inilah yang mengalahkannya, menghancurkan dan memporak perandakan bala tenteranya. Bagaimanakah kamu tidak dapat mengalahkannya sedangkan kebenaran bersamamu?
Wahai anak, janganlah kamu bersama dengan hawa nafsu, tidak dengan dunia dan tidak dengan akhirat dan jangan kamu ikuti selain dari-Nya (semua rusak binasa). Ketika itu datanglah petunjuk dari Allah s.w.t. yang tidak ada kesesatan sesudahnya. Bertaubatlah dari dosa Maha Besar. Apabila kamu bertaubat maka hendaklah zahir dan batinmu itu bertaubat pula. Lepaskanlah pakaian maksiat dengan taubat yang murni. Malu kepada Allah s.w.t. adalah hakikat (kenyataan yang sebenarnya) bukan kiasan. Ini termasuk perbuatan hati setelah sucinya anggota-anggota badan dengan amal-amal syara.' Orang yang membalik itu mempunyai tugas dan hati juga mempunyai tugas. Hati, apabila telah keluar tempat sebab-sebab dan berhubungan dengan makhluk maka ia mengharungi samudera tawakkal, ma'rifat kepada Allah s.w.t. meninggalkan sebab dan menuntut (mencari) Dzat yang membuat sebab. Apabila ia telah di tengah samudera ini, ia akan berkata: Ertinya: ''( Iaitu Tuhan ) yang telah menciptakan aku, maka Dialah yang memimpinku.'' (Asy-Syu'ara': 78)
Dia memberi petunjuk (pemimpin) dari pantai yang satu ke pantai yang lain, dari tempat yang satu ke tempat yang lain sehingga ia berhenti di jalan yang lurus. Setiap kali ia inggat Tuhannya maka jelaslah jalannya dan terbukalah (hilanglah) keraguan daripadanya. Hati orang yang menuntut (mencari) Allah s.w.t. adalah menempuh jarak dan meninggalkan segala sesuatu di belakangnya. Apabila ia merasa takut pada sebahagian jalan dari kehancuran maka tampaklah keimanannya, lalu keimanan itu memberanikannya, maka padamlah api kegelisahan dan ketakutan. Dan datanglah gantinya cahaya kesenangan dengan dekat kepada Allah s.w.t.
Wahai anak, apabila penyakit datang kepadamu, maka hadapilah penyakit itu dengan tangan kesabaran dan tenanglah sehingga datang ubat. Apabila datang ubat maka hadapilah dengan tangan syukur. Apabila kamu ada di dalam keadaan ini maka kamu berada dalam kehidupan yang segera. Takut kepada mereka itu memutus hati orang-orang mu'min, memucatkan muka mereka dan menyusahkan hati mereka. Apabila hal ini menetap di hati mereka maka Allah s.w.t. menumpahkan air rahmat-Nya dan belas kasih-Nya pada hati mereka, dan Dia bukakan bagi hati mereka pintu-pintu akhirat lalu mereka melihat Keamanannya. Apabila mereka telah menetap, tenang dan senang sedikit maka Dia bukakan pintu Keagungan lalu Dia sibukkan hati dan rahsia mereka sedang ketakutan mereka lebih banyak daripada yang pertama. Apabila hal ini telah sempurna bagi mereka maka Dia bukakan pintu Keindahan bagi mereka maka mereka tinggal (menetap), tenang, jaga, dan menempati beberapa darjat, iaitu tingkatan yang diperoleh sedikit demi sedikit.
Wahai anak, janganlah cita-citamu itu pada apa yang kamu makan dan kamu minum, apa yang kamu pakai dan kamu nikah, apa yang kamu diami dan apa yang kamu kumpulkan. Seluruhnya ini adalah cita-cita nafsu dan naluri, dan di manakah cita-cita hati dan rahsia iaitu untuk mencari keredaan Allah s.w.t..? Nilai cita-citamu adalah apa yang menjadi cita-citamu. Maka hendaklah cita-citamu itu adalah Tuhanmu dan apa yang di sisi-Nya. Dunia mempunyai ganti iaitu akhirat, makhluk mempunyai ganti iaitu Pencipta makhluk (Khalik). Setiap kali kamu meninggalkan sesuatu dari dunia ini maka akan terdapat gantinya dan lebih baik daripada dunia di akhirat. Perkirakanlah bahawa sisa umurmu tinggal hari ini saja maka kamu siapkan untuk akhirat untuk menghadapi datangnya Malaikul Maut (Malaikat penyabut nyawa). Dunia adalah masakan bagi kaum dan akhirat adalah keramaian mereka. Apabila datang kecemburuan dari Allah s.w.t. maka terhalanglah antara mereka dan dunia, dan pembinaan itu ditempatkan pada tempat akhirat maka mereka tidak memerlukan kepada dunia dan tidak pula kepada akhirat.
Wahai pendusta, kamu cinta kepada Allah s.w.t. dalam nikmat dan apabila datang cubaan maka kamu lari seolah-olah Allah s.w.t. bukan kekasihmu. Jelasnya hamba itu hanya ketika diuji. Jika datang cubaan-cubaan dari Allah s.w.t. sedangkan kamu itu tabah maka kamu adalah orang yang mencintai. Dan jika kamu berubah maka jelaslah kedustaan itu dan rosaklah yang pertama.
Datanglah seorang laki-laki kepada Nabi s.a.w., lalu ia berkata 'Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya mencintai engkau' maka beliau bersabda: Ertinya: ''Persiapkanlah jilbab (baju kurung) kerana kefakiran.'' Dan datang pula seorang laki-laki lain kepada Baginda Nabi s.a.w. lalu ia berkata 'Sesungguhnya saya cinta kepada Allah s.w.t. maka beliau bersabda: Ertinya: ''Ambillah jilbab (baju kurung) kerana cubaan.''
Cinta kepada Allah dan Rasulnya itu disertai dengan fakir dan cubaan. Oleh kerana itu sebahagian orang-orang soleh berkata 'diserahkan cubaan itu dengan kecintaan agar tidak ada dakwaan'. Jika tidak demikian maka setiap orang mendakwakan cinta kepada Allah s.w.t. Maka ketabahan terhadap cubaan dan kefakiran adalah sebagai perhatian atas kecintaan ini: Ertinya: ''Ya Tuhan kami, berilah kami kebikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari siksa neraka.'' (Al-Baqarah: 201)
Thursday, March 27, 2008
Dari Syaikh Abdul Kadir Al Jailani r.a.
Posted by
Farooq_Azuam
Labels:
Nasihat Syaikh Abdul Kadir Al Jailani r.a. untuk semua Umat
at
10:47 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Please visit us at http://airsetitik.tk
Thank you and regards
Post a Comment